Selasa, 25 Mei 2010

AirAsiaGo.com tawar 3,000 bilik percuma hari ini

KUALA LUMPUR 25 Mei - Portal pengembaraan dalam talian AirAsia Bhd., AirAsiaGo.com menawarkan 3,000 bilik hotel secara percuma esok bersempena dengan penjenamaan semula portal tersebut.
Tawaran selama sehari itu akan mula menerima tempahan pada pukul 12 tengah malam 26 Mei untuk penginapan antara 1 Jun ini hingga 31 Mac 2011 dan tempahan boleh dilakukan dengan melayari laman sesawang www.airasiago.com.
Ketua Serantau dan Komersial Kumpulan AirAsia, Kathleen Tan berkata, perkhidmatan AirAsiaGo.com bukan hanya menjual bilik penginapan tetapi ia lebih tertumpu kepada menjual 'pengalaman' selain memberi tumpuan menyediakan khidmat tambah nilai.
Menurutnya, portal pengembaraan itu menawarkan peluang yang baik kepada AirAsia memandangkan sebahagian besar mereka yang melayari laman sesawang AirAsia turut melayari portal tersebut.
''Sebanyak 21 juta pelawat mengakses laman web AirAsia setiap bulan dan daripada jumlah itu sebanyak 60 peratus juga akan mengakses AirAsiaGo,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis penjenamaan semula AirAsiaGo yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes.
Sebelum ini, portal AirAsiaGo.com dikenali GoHoliday dan ia dilancarkan pada Ogos 2004.
Tan berkata, pembelian dalam talian kini semakin popular dan ia terbukti apabila 80 peratus daripada penjualan tiket AirAsia dibeli menerusi laman sesawangnya.
Sementara itu, Tan memberitahu, AirAsia yang kini telah membawa 95 juta penumpang sejak ditubuhkan lapan tahun lalu dijangka membawa membawa penumpang ke-100 juta dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan